Thursday, March 01, 2007
KISAH GURU YANG BUDIMAN
Pak Samad adalah seorang penulis yang banyak memberi inspirasi, semenjak tahun-tahun pertama saya menyertai alam penulisan. Saya fikir banyak juga nasihat dari orang lama yang saya anggap sebagai guru yang budiman itu yang telah membawa saya sejauh ini. Saya berharap agar beliau sihat-sihat selalu hendaknya.
Enam hari yang lalu, saya menerima berita yang tak tersangkakan. Seorang lagi guru budiman yang saya hormati di bidang kemahiran pendawaian elektrik domestik ( ini kursus yang saya sertai sewaktu di Giatmara Alor Gajah, Melaka) telah disambut belangsungkawa. Adik saya yang turut menjadi pelajar cikgu ini turut terkejut.
XXXXX"Ya Allah!, dia sakit apa, Bang Ngah?"tanya adik saya melalui khidmat pesanan ringkas sebaik sahaja berita itu saya panjangkan kepadanya. Saya membalasnya dengan mengatakan bahwa sejujurnya, saya tidak tahu. Saya fikir usia beliau itu masih muda, malah masih belum pencen lagi. Saya menjadi mantan muridnya juga masih baru. Lapan tahun yang sudah. Saya mendapat berita kepulangan beliau ke sisi Ilahi jua dalam keadaan yang mengejut. Segalanya sangat tiba-tiba. Namun sesuatu yang sangat saya ingat, malam, sehari sebelum beliau meninggal, hati saya gelisah dan berdebar-debar yang amat sangat sehingga lena saya terganggu. Saya malah terbangkit dalam istigfar yang panjang. Awalnya saya menduga ianya adalah reflek dari ubat yang saya ambil saban hari, namun setelah mendapat berita ini, bisikkan hati saya kuat mengatakan bahawa debar dan resah yang melanda itu barangkali peringatan dari yang maha menguasai.
Guru ini terkenang di hati saya sebagai guru yang sangat prihatin pada kami anak-anak muridnya. Saya pernah di tegur oleh beliau kerana mencuri masa praktikal saya untuk menghantar karya novelet saya yang pertama.
XXXXX"Kamu tanya diri kamu Dark, kamu sebenarnya hendak bawa diri kamu ke mana?" tegur guru ini pada saya, (saya dikenali sebagai 'dark' pada waktu itu kerana pada waktu itu kulit saya memang cukup 'hangus' kerana terjemur dibawah cahaya matahari.)
Saya tidak mampu memberi jawapan.
Soalannya itu adalah satu soalan besar untuk saya sebenarnya. Saya masih belum menemui jawapan untuk memujuk diri saya agar menetap pada bidang teknikal sepenuh masa dan melupakan hasrat untuk menjadi penulis itu.
Sewaktu kami semua menyertai "dua minggu" ( passout untuk mencukupkan masa latihan sebagai askar wataniah ) guru ini telah ditukarkan semula posnya ke Terengganu, tempat asal kelahiran beliau, kalau tidak salah saya di Marang, dan ini menyebabkan beliau harus segera berkemas agar masa mengajar beliau di sana itu dapat diselaraskan dengan sebaik-baiknya. Namun alangkah terkejutnya kami bila kami mendapati bahawa guru ini sanggup menangguh masa berangkatnya semata-mata kerana hendak menunggu kami semua pulang ke Giatmara. Rata-rarta kami tergamam kerana setibanya kami di hadapan Giatmara Alor Gajah dalam trak 3 tan, guru ini telah pun menunggu kami semata-mata untuk menyampaikan pesanan agar kami semua belajar bersungguh-sungguh dan mengawal tingkah laku. Yang anehnya pada ketika itu, biarpun nasihatnya itu kedengaran seperti nasihat yang sama kami dengar setiap hari, namun nadanya sangat sayu pada kami semua, ada yang malah menitiskan airmata yang lelaki diatas baju lorengnya. Alangkah sangat tersentuhnya detik itu dihati kami!.
Kini setelah guru itu tiada barulah saya mengerti betapa mahal dan berertinya teguran beliau itu. Saya seperti merasakan bahwa walaupun beliau tidak berjaya hendak menjadikan saya seorang pendawai elektrik ( atau barangkali juga seorang chargeman), namun pertanyaan penting beliau tentang hala tuju kehidupan saya itulah, yang akhirnya menjadi salah satu penyebab yang berjaya membuahkan ilham dari buku yang hari ini saudara, saudari, adik, abang dan kakak kenali sebagai...
SAHABAT KOLE KACANG.
Al fatihah buat guru yang telah menanamkan fikir bererti itu ke dalam diri saya.
Cikgu Helifah bin Mat Nor
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment